Monday 27 June 2011

Mexico juara Piala Emas kali keenam

Posted by Berita Bola Sepak Terkini at 17:10 ,

PASADENA, California - Mexico memenangi kejuaraan keenam Piala Emas CONCACAF apabila bangkit daripada ketinggalan dua jaringan untuk membenam Amerika Syarikat 4-2 pada perlawanan akhir di Rose Bowl, semalam.

Pablo Barrera menjaringkan gol keduanya pada minit ke-50 untuk memecah kedudukan terikat 2-2 dan Giovani Dos Santos menambah satu gol pada minit ke-76 untuk Mexico, yang ketinggalan 0-2 hanya selepas 23 minit perlawanan.

Mexico memenangi gelaran juara serantau Amerika Utara dan Tengah kali kedua berturut-turut, seperti mana yang mereka lakukan pada 2009 mengalahkan Amerika Syarikat dan layak ke Piala Konfederasi 2013.

Javier Hernandez, pemain Manchester United dinamakan Pemain Paling Bernilai dan turut muncul Penjaring Terbanyak kejohanan dengan tujuh gol.

Dos Santos menjaringkan salah satu gol tercantik kejohanan, menggelecek penjaga gol Amerika Syarikat, Tim Howard yang terkeluar daripada posisi dan memperdayakan dua pertahanan sebelum menyepak cantik melepasi Eric Lachaj, yang cuba menanduk keluar pada penjuru kanan gawang gol.
Sepanjang kejohanan, Amerika merupakan antara pasukan yang terbaik ketika bertahan namun gagal mencari jawapan dalam menangkis serangan bertubi-tubi Mexico. Ketua pasukan Amerika, Carlos Bocanegra berkata, terdapat kekeliruan di kalangan pemain pertahanan.

Walaupun beraksi di Amerika Syarikat, stadium dipenuhi penyokong Mexico yang memakai jersi berwarna hijau.

Michael Bradley meletakkan Amerika pada minit kelapan dan Landon Donovan menambah jaringan pada minit ke-23.

Barrera merapatkan jurang gol pada minit ke-29, dan Andres Guardado yang bermain dalam kecederaan buku lali kirinya, menyamakan kedudukan pada minit ke-36. - AFP

Back Top

0 comments:

Post a Comment