Tuesday 28 June 2011

Manchester United membuat bidaan sensasi

Posted by Berita Bola Sepak Terkini at 16:47 ,
MANCHESTER - Manchester United membuat bidaan sensasi bernilai 15 juta pound (RM75 juta) untuk bintang remaja Barcelona, Thiago Alcantara.

Pengurusnya, Alex Ferguson mahu mendapatkan pemain skuad Bawah 21 Sepanyol yang menjuarai Kejohanan Eropah kelmarin dengan membayar secara tunai, namun Barca keberatan untuk menjual pemain itu kepada musuh mereka dalam Liga Juara-Juara.

Tawaran United itu adalah yang tertinggi berbanding kelab-kelab lain, yang turut meminati Alcantara.
Pemain berusia 20 tahun itu mencuri tumpuan dengan meledak jaringan cantik menerusi sepakan percuma jarak jauh pada perlawanan akhir Kejohanan Eropah mengalahkan Switzerland 2-0, Sabtu lalu.
Barca sebenarnya ada rancangan tersendiri iaitu membiarkan Alcantara ke England untuk menimba ilmu dan mengembangkan bakatnya dengan kaedah mengenakan syarat pembelian semula, sesuatu yang pastinya tidak akan dipersetujui oleh United.

Alcantara dijangka tidak dapat beraksi secara kerap musim depan memandangkan barisan tengah yang dimiliki skuad Pep Guardiola sudah cukup mantap.

Fergie melihat Alcantara sebagai calon sesuai menggantikan Paul Scholes di Old Trafford, tetapi Barca lebih sanggup melepaskan pemain itu ke kelab lain.

Halangan terbesar yang perlu ditempuhi Fergie adalah ejen Alcantara adalah abang Guardiola, Pere.
Barca juga berhasrat menggunakan Alcantara sebagai pertukaran beserta bayaran tunai untuk memujuk Arsenal menjual Cesc Fabregas, namun Arsenal tidak berminat dengan tawaran sedemikian.

Jadi, situasi luar biasa mungkin berlaku, iaitu pasukan pertengahan Liga Perdana England, Bolton Wanderers mungkin berpeluang menyambar pemain tersebut tetapi perlu akur dengan syarat yang ditetapkan oleh Barca. - AGENSI

Back Top

0 comments:

Post a Comment