Tuesday 21 June 2011

Shabery yakin skuad Olimpik akan ke peringkat seterusnya

Posted by Berita Bola Sepak Terkini at 16:40 ,

“ELEMEN kematangan ada tapi sifat yakin harus dimantapkan lagi,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selepas menyaksikan skuad Olimpik negara seri tanpa jaringan ketika menentang Lubnan di Beirut, kelmarin.

Hadir menyaksikan perlawanan siaran langsung itu di skrin besar, Dataran Merdeka yang turut disertai kira-kira 1,000 penyokong, malam kelmarin, beliau menilai skuad Harimau Muda memiliki kelebihan daripada saiz tubuh badan menjelang perlawanan timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini.


Shabery yang turut menyarung jersi kebangsaan sebagai tanda sokongan tampak yakin anak didik Ong Kim Swee itu pastinya akan membutirkan kejayaan untuk mara ke pusingan ketiga.

“Dalam konteks ini kita bermain corak bertahan kerana tidak mahu membenarkan lawan mendapat sebarang gol babak pertama tapi selepas rehat Malaysia dapat mengatur serangan demi serangan sehingga berjaya melepasi beberapa kali tembok pertahanan lawan.

“Ini menunjukkan pasukan kita ada kemampuan untuk lebih maju daripada apa yang sepatutnya dan saya percaya kita akan melangkah ke pusingan seterusnya selepas bermain di Malaysia nanti,” katanya.

Shabery juga mengharapkan laungan sokongan penyokong dapat dicetuskan pada perlawanan timbal balik bagi memberi impak kepada pasukan negara untuk lebih berkeyakinan menghasilkan kemenangan sekali gus mara ke pusingan selanjutnya.

“Saya percaya sokongan rakyat Malaysia pada hari ini penting kerana ia adalah himpunan tenaga yang akan diberi kepada pasukan. Sama-sama kita pergi ke Stadium Nasional nanti,” katanya.

Back Top

0 comments:

Post a Comment